Kesalahan kekal hukuman dikurangkan

Kesalahan kekal hukuman dikurangkan

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan kesalahan terhadap pereka grafik, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 40, atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi palsu, karikatur badut menyerupai pemimpin negara, dua tahun lalu.



Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Radzi Harun, bagaimanapun mengurangkan hukuman terhadapnya kepada hanya denda RM10,000 dan jika gagal bayar penjara sebulan.

Pada Februari lalu, Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 yang jika gagal bayar penjara enam bulan dikenakan terhadapnya.

Keputusan terhadap rayuan sabitan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu selepas meneliti keterangan semua saksi pendakwaan dan juga pihak tertuduh sendiri selain alasan penghakiman Mahkamah Sesyen.

Mohd Radzi mendapati pihak pendakwaan berjaya mensabitkan kesalahan Mohd Fahmi Reza tanpa keraguan munasabah dan keputusan dibuat hakim Mahkamah Sesyen Ipoh pada 20 Februari lalu adalah betul mengikut undang-undang.

Bagi rayuan terhadap pengurangan hukuman yang dibuat pereka grafik itu pula, Mohd Radzi membuat keputusan mengurangkannya kepada RM10,000 dan jika gagal bayar penjara sebulan selepas meneliti hujah kedua-dua pihak.

Keputusan itu juga dibuat berdasarkan pemerhatian penghakiman Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Oktober lalu yang membebaskan Mohd Fahmi Reza selepas pihak pendakwa raya menarik semula dakwaan terhadapnya.

Mohd Radzi turut memaklumkan pihaknya mengambil maklum laporan media mengenai hasrat Kementerian Komunikasi dan Multimedia meminda Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Di akhir prosiding Mohd Radzi memberi nasihat kepada Mohd Fahmi Reza agar menggunakan bakat yang ada untuk tujuan murni tanpa melupakan adat susila orang Timur dan menjadi contoh yang baik kepada pengikut media sosialnya.

Beliau turut mencadangkan agar RM20,000 yang akan dipulangkan itu digunakan untuk membeli peralatan melukis dan mengajar lukisan menggunakan kreativiti yang ada kepada anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak yatim.

Pada keputusan rayuan hari ini pihak pendakwaan diwakili Ketua Jabatan Pendakwaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohd Sophian Zakaria dan Mohd Fahmi Reza hadir bersama peguamnya Syahredzan Johan.

No comments:

Post a Comment