Negeri Sembilan utamakan anak tempatan
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, pendekatan ini diambil untuk memberi peluang kepada jurulatih dan pemain tempatan untuk mempamerkan kemampuan masing-masing.
Keutamaan kita kali ini ialah memilih ketua jurulatih dan pemain dalam kalangan anak Negeri Sembilan sendiri. Kita yakin ramai jurulatih dan pemain dalam kalangan anak tempatan yang mampu menggalas tugas tersebut.
Kita harap anak tempatan akan sentiasa memberi komitmen untuk kembali meletakkan skuad Hobin Jang Hobin di landasan yang terbaik dan dihormati dalam persada bola sepak negara," katanya di sini, semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri berkata, PBNS mempunyai senarai beberapa jurulatih dan pemain tempatan yang dikenal pasti untuk dipanggil menyertai skuad Negeri Sembilan musim depan.
Ini termasuk pengendali Mifa, K Devan. Kita harap dapat membentuk sebuah pasukan mantap dalam saingan Liga Perdana musim depan katanya.
Sementara itu, katanya PBNS kini dalam proses pemilihan pengurus pasukan bagi skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan pasukan belia.
Kita akan melantik pengurus pasukan dahulu dan dari situ kita akan membuat langkah seterusnya iaitu pemilihan ketua jurulatih dan pegawai pasukan yang lain serta pemain termasuk pemain import.
Adalah dijangka pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Presiden PBNS Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dalam masa terdekat," katanya.
Negeri Sembilan yang bersaing dalam Liga Super musim ini tersingkir ke Liga Perdana musim depan setelah menduduki senarai tercorot dengan mengumpul 15 mata daripada 22 perlawanan.
Selain Negeri Sembilan, lapan pasukan lain bersaing dalam Liga Perdana musim depan ialah Kelantan, Mifa, Johor Darul Ta'zim II, Polis Diraja Malaysia, Sabah, Sarawak, UiTM FC dan Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment