Mampu Ke Golongan Wanita Yang Berpoligami

Mampu ke golongan wanita yang berpoligami berbaik-baik dengan madunya sendiri? Boleh jaga hati sendiri demi kebahagiaan orang lain?

Sememangnya sesuatu yang agak sukar mengelakkan daripada berlaku perkara yang menggores hati atau setidak-tidaknya salah faham dan menyebabkan kecil hati antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, ini boleh diuruskan dengan memujuk hati kita supaya memahami realiti sebenar tentang diri kita yang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Ya, agak berat menjalinkan hubungan yang baik dan mesra dengan madu, kerana ini membabitkan hubungan perasaan yang sangat kuat. Dengan memahami dan memujuk agar kita menghadapi realiti secara bijak dan memenangkan hubungan kita, serta istiqamah membiasakan tindakan positif, diyakini ia adalah sesuatu yang mampu diubah.


Antara tindakan positif yang boleh dilakukan:

1. Sedari kelebihan madu kita yang menjadi kekurangan kita. Dalam bahasa langsung, pergunakan kelebihannya contohnya dia suka memasak, sinergikan supaya dia memasak dan kita ambil peranan yang kita gembira lakukan tetapi mungkin kekurangan dia. Menerusi cara ini, dia turut merasa gembira.

2. Memberi dan menerima serta saling bertukar sesuatu yang membahagiakan. Sekiranya madu kita tidak bekerja, cuba ambil jalan tengah dan bersepakat supaya dia uruskan rumah. Manakala kita berkongsi sebahagian gaji kita dengannya.

Barangkali nampak agak mudah diungkap, tetapi susah juga mahu di kota. Namun, dengan memujuk kefahaman kita dan istiqamah memulakan tindakan-tindakan begini, lama-kelamaan akan menjadi tabiat dan budaya hidup kita yang menggembirakan.

3. Kata orang didik hati agar redha. Kita hargai apa yang kita peroleh daripadanya dan kita hormati apa yang diharapkan olehnya daripada kita. Perkara ini sedikit-sebanyak memudahkan kita untuk menjadi redha.

4. Sebaiknya, tidak perlu bersaing untuk menunjuk-nunjuk kebaikan antara sesama madu, tetapi baik juga kalau bersaing menunjukkan kebaikan kepada suami. Namun lakukanlah secara sihat dan berhemah.

Jika kedua-dua kita tunjukkan rasa memberontak dan menyedihkan suami, tidak mustahil suami akan mencari tambahan yang baru dan mungkin bertambah lagi rasa sakit di hati kita. Jadi pilihan ada di tangan anda.

No comments:

Post a Comment